KUCHING: Kerajaan Sarawak dengan Universiti Teknologi Swinburne telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka dan memacu ekonomi berasaskan hidrogen.
MoU tersebut telah ditandatangani oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU), Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, dan Naib Canselor merangkap Presiden Universiti Swinburne, Professor Pascale Quester serta disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian.
Kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan Hab Hidrogen Viktoria (VH2) yang diuruskan oleh Universiti Swinburne ini akan tertumpu kepada penyelidikan serta inovasi untuk ekonomi hidrogen, pembangunan modal insan melalui program latihan dan kemahiran, penubuhan satu tempat sebagai sebuah pusat latihan serta demonstrasi fizikal untuk teknologi berkaitan, dan juga pewujudan satu rangkaian global berlandaskan hidrogen (Global Hydrogen Connectivity).
Sementara itu, Dato Sri Dr. Sim dalam ucapannya berkata, kerjasama ini adalah sejajar dengan visi Premier Sarawak untuk menjadikan Sarawak sebagai hab pengeluar hidrogen yang terutama di rantau ini.
“Hidrogen ialah satu produk berpotensi tinggi kerana ianya tidak mencemarkan alam sekitar.
“Produk ini sesuai dibangunkan susulan fenomena perubahan iklim serta keselamatan sumber tenaga yang merupakan isu-isu utama yang timbul dalam usaha menghasilkan sumber tenaga yang mesra alam sekitar serta mampu menampung keperluan sektor ekonomi pada masa depan,’’ tambah beliau.
Sementara itu, Datu Dr. Abdullah berpendapat bahawa hidrogen adalah satu sumber tenaga yang serba boleh yang mampu menyumbang kepada usaha dekarbonisasi dalam sektor tenaga dan perindustrian.
“Buat masa ini, terdapat halangan yang dihadapi untuk pembangunan produk ini di pasaran iaitu kekurangan infrakstruktur sokongan serta kos sumber hidrogen, namun, ianya boleh diatasi melalui pelaburan serta kerjasama strategik antara sektor kerajaan dan sektor swasta,’’ jelasnya. -Edisi UKAS
Sumber dari : UKAS